4:36 PM
2
TOLAK UMNO, TOLAK BN, TOLAK PARTI MALAYA DAN YANG BERSEKONGKOL DENGANNYA. Sesudah 53 tahun kita bebas dari Jajahan British, kita membentuk Malaysia bersama dengan Tanah Melayu (Malaya) dan Sarawak (Singapura keluar 1969) pada 16 Sept 1963, kita sepertinya tidak berupaya dari lari pada sifat kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan. Pemimpin lampau telah menyedarinya, akan tetapi tindakan-tindakan politik semasa itu, juga masih dibawah pengaruh Malaya. Sejak seawal 1963, Malaya sudah memainkan senandungnya untuk memecahkan pemimpin Sabah. Pertukaran jawatan Ketua Menteri beberapa kali dari Tun Fuad Stephen, Tan Sri Peter Lo, Tun Mustapha kepada Tun Said Keruak sehinggalah kepada kejatuhan kerajaan Perikatan 1976 dengan lahirnya Berjaya sudah membuka pekung yang menjadi barah yang ditanamkan oleh Malaya.

Merujuk kepada kedudukan Sabah hari ini, sebagai sebuah wilayah merdeka, mempunyai hasil yang cukup banyak, kaya dengan Minyak dan Gas, ladang sawit terbesar di seluruh Malaysia dan pengeluar hasil getah yang juga tersohor, tidak seimbang dengan pembangunan infra yang terlalu jauh ketinggalan. Ini semua kerana kita terus menerus dalam kawalan pihak Malaya dalam apa yang dipanggil "Kerajaan Pusat", "Kuala Lumpur" dan kini "Putrajaya" melebihi dari status asalnya sebagai "Kerajaan Persekutuan". manakala dalam politik pula ianya dengan gelaran "PARTI NASIONAL" yang memenuhi kriteria PENJAJAHAN secara kekal.

Ramai bercakap tentang HAK, dengan mudah menyodokkan implan politik, tetapi kurang pengetahuan tentang hak tersebut, kerana ramai dikalangan kita sudah terlalu lama dalam sistem pemikiran "KURANG UPAYA", "YES BOSS", "BAIK, TUAN". Sepertinya masih mau meruntuhkan tanah berbukit dengan cangkul sahaja, tanpa cuba menambah nilai pengetahuan dan berusaha mempelajarinya. Mempelajari hak tidak semestinya perlu menuntut di Universiti, mempunyai Master dan PHD, tapi memadai jika kita mengetahui kedudukan Hak yang ingin dituntut tersebut samada dalam Perlembangaan Persekutuan atau ianya termaktub di dalam Perjanjian Malaysia, dan tersurat dalam 20 Perkara dan dokumen lainnya.

MAKA SUDAH TIBA MASA, kita harusnya mempunyai sifat KERAS HATI DAN KERAS KEPALA menolak agenda Malaya yang terus menerus memperolokkan kita. Malaya mendidik kita supaya kita terus mengalah. INI HARUS BERHENTI!

Memberikan peluang kepada Parti Tempatan di Sabah melalui Gabungan Sabah adalah jalan terbaik untuk memperbetulkan kerosakan yang telah berlaku. Pemimpin Gabungan meskipun pada usia lewat, akan tetapi dibelakang mereka merupakan dokongan hebat para pemikir muda dan golongan profesional yang mempunyai ramuan bagi MENGEMBALIKAN HAK SABAH, dan bukan sekadar menuntutnya.

Sabahan harus ada sifat KERAS HATI dan KERAS KEPALA sekarang. Kalau Malaya melihat kita masih seolah-olah bergantung pada mereka, walaupun kita berkata sebaliknya iaitu 'tidak', tapi tindak tanduk mengatakan 'IYA'. Maka jangankan pru14, 100 tahun akan datang pun masalah Sabah takkan selesai. GABUNGAN SABAH adalah jawapannya! Demi Sabah tercinta.

2 comments:

  1. Adih sedih juga saya baca luahan kekecewaan kau ni..tapi apa yang kau mau perjuangkan dari realitinya tidak logik. Ini luahan kekecewaan atau untuk terus relevan.Orang Sabah kenal betul ba dengan tiga presiden Gabungan Sabah..no doubt about it. Yang kami heran dorang ni pernah memegang jawatan yang tidak pernah diimpikan oleh rakyat biasa. Buat masa tu mungkin mereka ni hanyut dalam buaian kemewahan sehingga lupa perjuangan yang diimpikan tadi. Saudara, Pakatan Rakyat dan Warisan pun tidak sehaluan dengan USA..apa lagi penyukung BN..nasihat saya kepada pemimpin USA ia lah cari lah lagi idea lain untuk pengaruhi pengundi Sabah ni. kami sudah matang menilai mana yang intan dan mana yang kaca..

    ReplyDelete
  2. Saya terharu dan penuh gelisah membaca petikan blog saudara TJJ. Saya rasa pemikiran TJJ masih kecoh, bercelaruh, mungkin2 ketinggalan zaman kerana tidak mengikuti perkembangan politik yang kian aktif dan berterusan sejak mendapat kemerdekaan dari British.

    Banyak penjelasan telah diberi tentang hak2 kita sebagai rakyat Sabah yang termaktub atau yang berkaitan dengan perlembagaan persekutuan mahupun MA63. Kita sedar kesilapan pemimpin masa lampau tapi harus juga kita memahami suasana dan faktor2 yang mempengaruhi pemikiran mereka semasa itu. Bukan setakat membidas mereka dan mempersalahkan mereka oleh kerana kita tidak berpuas hati di saat ini, tapi sesungguhnya kita patut dapat memahami dan terus mempelajari lebih mendalam lagi selok belok politik pada masa itu dan masa sekarang.

    Memang senang memberi komen selepas berlakunya kesalahan atau keputusan yang tidak seberapa tepat dan tidak menyenangkan hati sendiri oleh sebab personal interest. Sesiapa pun boleh cakap bah, budak sekolah belasan tahun pun boleh buat komen seperti yang di warwarkan oleh TJJ. Tidak payah diploma, sarjana atau phd.Main hantam buat2 bising pun boleh.

    Tapi gatal hati juga motanyani, apa hak-hak yang dimaksudkan oleh TJJ? Silap2 dia sendiri pun ndatau.Dalam blog sikawan, tiada pun hak-hak istimewa yang diterangkan cuma secara amnya hak-hak. Hmmm hak apaya?

    Kalau sendiri pun pemahamannya tentang hak tidak mendalam bagus kita diam2 dulu. Baca dan ikuti perkembangan semasa mengenai hak-hak yang pernah selama ini dan terus diutarakan dengan tegasnya oleh pemimpin2 parti tempatan dalam BN.

    Misalnya, UPKO, PBS, PBRS, LDP tegas dengan pendirian terhadap kebebasan dalam beragama. Semua pemimpinnya termasuk jugaPemimpin UMNO tempatan mempertahankan penggunaan ‘Allah’ dalam Bible.Penggunaan Bahasa Momogun dan english. Mempertahankan hak kerakyatan, masalah PTI dan pengeluaran MyKad baru dengan ciri2 verifikasi terhadap individu yang tepat, hak dalam semua harta semula jadi termasuklah minyak dan gas asli, dan pembahagian dana pembangunan dari pihak persekutuan.

    BN Sabah tidak pernah berdiam diri dan tidak pernah angguk-angguk kepala tanpa memahami impak baik atau sebaliknya terhadap rakyat Sabah. Itu keistimewaan pemimpin-pemimpin kita yang bergabung tenaga dalam Barisan Nasional. Barisan Nasional terbukti dapat membela rakyat, dapat member keselesahan hidup berharmoni dengan berbagai kaum, bangsa dan agama.

    Jadi apa hak-hak yang komo cakap ni gaman? Cuba kasi tarang?

    ReplyDelete