SUDAHKAH ANDA BERSEDIA HADAPI PILIHANRAYA? ADAKAH PARTI PEMBANGKANG SABAH BOLEH BERSATU SEPERTI PERMINTAAN RAKYAT? ADAKAH BENAR RAMALAN Pilihanraya dijangka pada tahun 2017, terdapat tanda-tanda Pilihanraya DUN Sabah akan diadakan terlebih dahulu sebelum Parlimen. Jika ini berlaku, maka ianya merupakan test ground bukan sahaja bagi BN dan UMNO tetapi juga kepada percaturan Pembangkang di Sabah.
Umum mengetahui 3 parti baru saja diluluskan oleh ROS dan 2 daripadanya di Sabah iaitu Warisan pimpinan Shafie dan Harapan pimpinan Lajim. Sementara Parti Peribumi atau Bersatu dipimpin oleh Tun Mahathir dan Muhyidin. 2 parti ini mempunyai ciri yang sama, serpihan daripada UMNO. kecuali Harapan yang terbias sedikit kerana Lajim sebelum ini menyertai PKR setelah keluar daripada UMNO.
Begitupun di Sabah, perebutan kerusi bertanding nampaknya sudah menjadi suatu kebiasaan dalam suasana politik sejak zaman berzaman. Pilihanraya lepas menyaksikan pertembungan sesama sendiri dikeseluruhan 60 kerusi DUN dan 25 Kawasan Parlimen menyaksikan BN kembali berkuasa walaupun terdapatnya angin tsunami politik yang cukup kuat. Keputusan berpihak kepada BN hanya kerana Borneo menyelamatkannya terutama SABAH. Ramai Pengundi menyalahkan pemimpin politik seperti Lajim, Bumburing, Jeffry Kitingan, Yong Teck Lee dan ramai lagi kerana tidak dapat menyatukan parti-parti bagi membolehkan 1 lawan 1 menentang BN. hakikat ini terpaksa diterima dengan pahit oleh semua pemimpin politik samada tempatan maupun Pakatan Rakyat.  Saya juga menerima kekalahan teruk sebagai muka baru dalam pilihanraya dan hilang deposit. Saya akui terlalu mentah dalam percaturan politik pada masa tersebut.
Parti yang saya sertai sejak 1994, SAPP umpamanya tewas dikesemua kawasan pilihanraya yang ditandinginya serta ramai hilang wang pertaruhan, banyak faktor menyebabkan SAPP tewas teruk, antaranya ialah fitnah daripada Junz Wong dan DAP yang mengatakan SAPP menerima dana daripada BN untuk memecahkan undi. Selepas pilihanraya Junz Wong telah disaman oleh Yong Teck Lee dan SAPP.
Begitupun SAPP bermurah hati untuk menyelesaikan perkara ini melalui persetujuan agar Junz Wong menarik balik kenyataannya dan menuntut maaf dan disiarkan disemua surat khabar utama. Kerosakan yang dilakukannya memang tidak boleh diambil ringan dan sangat mengecewakan, pemimpin ini kini bersama Warisan sebagai Naib Presiden. Apakah dia akan mengulangi perbuatannya dalam pilihanraya akan datang sementara sokongan akar umbi terhadapnya mula tertutup gara-gara dia mengecewakan kepercayaan pengundi apabila berpindah ke Warisan sedangkan semasa Hiew King Chu meninggalkan DAP dan menyertai MCA, dialah yang mengeluarkan kenyataan meminta Hiew melepaskan kedudukan sebagai ADUN Luyang. Kini pengundi di bandar mula melihat Junz Wong tidak lebih dari pelawak politik. Bagaimanapun kita tinggalkan cerita Junz Wong kerana ramai berpendapat dia hanyalah 1 term YB. 
Mari kita bicara soal permuafakatan Pembangkang? Kita bermula dengan acahan pihak Warisan untuk bertanding bersendirian dengan megah memaklumkan meletak calun di kesemua kerusi DUN dan Parlimen seperti yang disiarkan di media masa. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Lorreto Padua Jr. Setiausaha Agung Warisan. Entah benar atau nantinya dikatakan ianya kenyataan palsu, wallahualam. Ini jelas bertentangan dengan kenyataan Shafie Apdal mantan Naib Presiden UMNO dan 30 tahun menjadi Menteri Federal yang kini merupakan Presiden Warisan parti yang baru ditubuhkannya 3 bulan lalu setelah dia digantung sebagai Naib Presiden dan akhirnya mengumumkan keluar UMNO pada hari terakhir Ramadhan tahun ini.
Shafie berkata dia tidak mengatakan tidak mau bergabung walaupun pada mulanya dalam kenyataannya sebaik parti diluluskan dia berkata dia berhasrat menyatukan rakyat dan bukan parti politik. Ucapan-ucapan beliau disebar meluas termasuk di Sandakan bila dia mengolok parti lain seperti Star dan PCS serta Harapan, disusuli dengan ketawa oleh yang hadir. Sementara salah seorang Naib Presidennya Terence Siambun wakil rakyat Moyog dalam kenyataan akhbar juga menggambarkan tidak menolak untuk bergabung dengan parti pembangkang yang lain.
Apakala SAPP, STAR dan PCS sudah memeterai Deklarasi dan piagam bersama untuk menjalin hubungan rapat bagi menumbangkan BN dan juga berikrar bekerjasama dengan parti lain yang bersetuju pada perinsip mereka. Pack ini dinamakan Gabungan Sabah yang sudah bergerak bersama dari Kundasang Sabah Day 2015 sehinggalah sekarang. Pelancaran Piagam pada 20 Nov lalu merupakan detik bersejarah yang jarang kedengaran bila semua pemimpin politik dalam 3 buah parti dengan jumlah AMT SAPP 25 orang, 28 untuk STAR dan 39 untuk PCS yang menjadi penggubal dasar parti masing-masing membawa ribuan penyokong untuk majlis bersejarah tersebut. 
Pemeteraian Piagam Gabungan Sabah 20 Nov 2016
92 orang AMT bagi 3 buah parti dapat bersatu dan bersepakat. Bukannya mudah, tetapi GABUNGAN SABAH berjaya menyatukan parti-parti ini. Memetik ucapan Pengerusi Gabungan Sabah ketika itu, Datuk Hj Mohd Noor Mansor berkata, tidak ada jalan lain untuk menumbangkan UMNO dan BN selain daripada bersatu tenaga dan beliau mengajak parti-parti lain untuk bergabung. Datuk Hj Mohd Noor Mansor atau lebih mudah dikenali Datuk Matnor merupakan pemimpin berpengalaman, Menteri Kewangan semasa zaman Berjaya dan menjadi Adun bagi kawasan Buang Sayang dan Tempasuk. Bukan calang orang yang dibawanya bersidang, 3 pemimpin besar Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee. kesemua mempunyai pengalaman luas dan menjadi penerang bagi anak-anak muda pejuang Sabahan yang sentiasa berani.
Pemimpin Gabungan disambut oleh ribuan penyokong
Ramai beranggapan bahawa pemimpin ini sudah terlalu berusia dan tidak memberi ruang pada mereka yang masih muda, walhal mereka yang berkata demikian mempercayai retoriknya sahaja tanpa mengupasnya sedalam mungkin. ini dapat dilihat dari sokongan golongan muda dan aktivis serta pejuang Sabahan. Kemungkinan mereka semua ini tidak dilihat hanya kerana pakaian dan bukanlah kelas mereka yang duduk di hotel mewah. Barang diingat, pengundi golongan inilah, yang berpakaian tak rapi, menaiki bas mini dan menginap di hotel bajet merupakan jumlah terbesar pengundi di seluruh Sabah. itulah kuasa orang kebanyakkan yang dipandang sepi dengan perkataan mereka itu kampungan. No class. Bah, biarlah kita selekeh, tak mengapa, kita akan beri perhitungan pada mereka yang memandang rendah itu kelak.
DSP Lajim turut hadir berikan komitmen
Harapan sebuah lagi parti yang ditubuhkan oleh Mantan MPN PKR Sabah dan ketua pembangkang di DUN Datuk Seri Panglima Hj Lajim Hj Ukin. Begitu banyak suara sumbang didengari, ada yang menggelar dia sebagai Katak dan macam-macam lagi. Sesuatu yang tidak disenangi oleh penyokongnya. Tetapi suatu perkara menarik berkaintan HARAPAN pimpinannya ialah keberanian mereka melancarkan parti pada hari bekerja dan disebelah pagi. Harapan juga mempunyai misi dan visi perjuangan yang secocok dengan perjuangan Gabungan dan dijangka perundingan dengan Harapan berjalan dengan lancar sebagai dimaklumkan oleh DSP Yong baru-baru ini. Ucapan Lajim semasa pelancaran mempunyai nilai-nilai bahawa Harapan sedia bekerjasama dengan Gabungan untuk menentang BN.
Tidak boleh kita lupakan ialah tindakan Pakatan Harapan (PKR, DAP, Amanah) yang akan melancarkan PH mereka di Sabah pada awal Januari tahun depan. Adakah ini suatu petanda PH akan meletakkan calunnya di Sabah juga kelak atau mereka bakal mengumumkan untuk sedia berunding dengan pembangkang dan Gabungan Sabah? seperti kenyataan Pengerusi PKR Sabah Christina Liew yang berkata ada ruang untuk berbincang dan mereka menghormati MA63.
APAKAH Pakatan Harapan akan benar-benar memeggang ikrar untuk menghormati MA63 dan mengambil peranan untuk memberi ruang kepada parti tempatan agar tidak ada perpecahan undi dan memungkinkan 1 lawan 1 itu terlaksana untuk menumpaskan UMNO/BN di Sabah. atau akan sekali lagi melebarkan episod duka melestari nasib anak-anak Sabahan yang menginginkan perubahan?
MA63 menjadi asas perjuangan hari ini, semua pihak menggunakannya dan ianya perkara baik. Bagaimanapun, adakah semua pihak memahami perincian dan isi kandungan yang menjadi hak dan dinilai sebagai hak, serta mana satu yang dicabuli di dalam MA63. maka MA63 harus dipelajari, 20 perkara, IGC dan laporan suruhanjaya Cobbold harus diselongkar bagi melihat sejauh mana kita tersasar dalam pembentukan Malaysia hari ini
Persoalannya, mampukah Warisan merendahkan ego? adakah Gabungan Sabah bakal bersama Harapan? adakah Pakatan Harapan akan menjadi penonton? ini semua masih dalam teka teki politik Sabah. Tambahan 13 kerusi menjadikan 73 DUN di Sabah dan kedua terbesar selepas Sarawak juga menandakan Sabah bakal dilihat sebagai percaturan Hidup atau Mati parti bertanding. Suasana ini tidak akan berulang lagi dimasa akan datang. Parti pembangkang seharusnya belajar dan mula mencari titik persamaan atau bakal kampis barait. ingatlah Parti menyatukan Rakyat, Rakyat mau parti-parti bersatu demi mereka!
TJ Jamain
28/12/2016

0 comments:

Post a Comment